Thursday, April 8, 2010

SEMAKIN KAYA SEMAKIN BANYAK SUBSIDINYA

Kunta Kinte: Yang kaya lagi besar subsidi

2010/04/09

KADANG-KADANG Kunta Kinte pun dah tak tahu atau tak berani nak teka apa yang orang kita betul-betul hendak dan apa yang kerajaan fikir baik untuk mereka.


Misalnya, Kunta Kinte tak tahu atau tak berani nak teka apa yang orang Melayu dan kaum Bumiputera betul-betul hendak dan apa yang kerajaan nak buat untuk terus bantu mereka.


Kunta Kinte selalu cakap pasal orang Melayu dan Bumiputera yang lain bukan kerana apa, tapi sebab bilangan merekalah yang paling ramai dan mundur kalau dibandingkan secara pukul rata dengan orang keturunan Cina atau India.


Kunta Kinte tak kata semua orang keturunan Cina atau India senang, tapi bilangan mereka tidaklah seramai Bumiputera. Tak apalah, kalau nak bantu orang miskin, kita bantulah semua tak kira bangsa, kaum atau tempat.


Kalau kita cakap pasal pembangunan, dah banyak pembangunan dibuat sejak merdeka. Sekarang ini, kalau di Semenanjunglah boleh kata tak ada penjuru, pelosok dan hulu negara yang tak ada kemudahan asas macam jalan raya, air paip, elektrik, telefon, klinik atau pusat kesihatan, pejabat pos dan bank.


Tapi itu di Semenanjung. Di Sarawak dan Sabah, oleh kerana kedudukannya sebagai pulau, kawasan yang luas dan taburan penduduk yang nipis, banyak lagi tempat yang tak ada atau kurang kemudahan asas.


Jadi, dalam kerajaan dok cakap pasal ekonomi moden, ekonomi pendapatan tinggi, ekonomi berinovasi, pasal nak kurang atau hapus subsidi, janganlah pula lupa yang banyak lagi tempat yang tak ada atau kurang kemudahan asas. Jika ada pun mutunya rendah sampai tak sesuai atau tak boleh diguna sebagai faktor pengeluaran.


Bila Kunta Kinte balik kampung atau masuk kampung orang pergi tengok orang kampung tanam padi, taman getah, taman kelapa sawit atau bela kambing, rasa macam tak bermaya. Macam tak ada tenaga dan minat.


Seakan-akan dah jadi balik macam ekonomi cukup makan (subsistence economy) zaman sebelum merdeka. Dah macam kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jangan cakap inovasi. Inisiatif pun macam dah tak ada.


Ada orang kata sebab banyak sangat kemudahan dan bantuan macam subsidi baja dan sokongan harga padi. Tapi jika bukan kerana bantuan baja dan sokongan harga padi, dah banyaklah tanah bendang  jadi tanah rang, kena tinggal!


Memanglah hasil padi dengan keluasan tanah yang terhad, ditambah pula dengan macam-macam penyakit dan musuh tanaman, memang tak cukup tampung cara hidup yang paling minima, paling daif sekali pun.


Tapi kalau kerajaan tak bagi bantuan, apalah nak jadi dengan tanah bendang dan tali air  tu? Kerajaan bantu, tapi yang tampung subsidi kepada penanam padi tu adalah pengguna. Setiap kali pengguna beli beras, dalam harga beras itu ada elemen bantuan atau subsidi kepada penanam padi.


Penanam padi pun kalau dia jual semua padi keluaran dia, kemudian dia beli beras, dia pun kena bayar elemen subsidi dalam harga beras itu.


Tapi kita kenalah bayar harga yang lebih tinggi sikit kalau kita nakkan jaminan supaya kita selalu mempunyai  bekalan beras yang mencukupi, walaupun berlaku gangguan bekalan beras dunia misalnya oleh kerana perang, kemarau atau pun akibat serangan serangga.


Sebab itu hari ini, negara kaya yang ramai penduduk macam China atau yang tanahnya tak subur macam Arab Saudi, pergi keserata dunia untuk membeli atau menyewa tanah yang luasnya berjuta-juta ekar untuk menghasilkan makanan.


Jadi, Kunta Kinte harap dalam kerajaan dok cakap fasal Model Ekonomi Baru dan nak hapuskan subsidi, fikirlah masak-masak kehidupan rakyat miskin.


Hari ini orang dok nampak subsidi kepada orang susah saja. Tapi yang sebenarnya dapat subsidi lebih besar adalah orang kaya yang pakai kereta besar, ada loji penjana elektrik atau kilang.


Mereka ini beli gas subsidi daripada Petronas kemudian jual elektrik dengan harga yang tinggi kepada TNB yang kemudian kenakan tarif yang tinggi pula kepada pengguna, termasuk orang susah yang tanam padi, tangkap ikan dan toreh getah.




Kalau nak hapus subsidi, hapus dulu subsidi kepada orang kaya, kapitalis dan industrialis ini. Yang kita tahu, mereka ini bila syarikat untung mereka cakap besar, mereka akan kata yang mereka itu pandai berniaga.


Tapi yang mereka dapat lesen penjana elektrik bebas, lesan judi, lesen arak, penswastaan padang lumba kuda dan tanah bandar raya, subsidi gas cecair asli dan macam-macam lagi insentif, mereka tak cakap.


Kerajaan kena teruskan dasar pro-perniagaan, tapi kalau nak potong subsidi, potong dulu subsidi kepada industri. Lepas tu barulah mereka boleh bersaing secara global yang mereka sendiri selalu uar-uarkan.


Memang pun tugas kerajaan bantu rakyat. Kalau rakyat jelata yang miskin dan melarat tak boleh bergantung kepada kerajaan, kepada siapa mereka nak bergantung?


Kepada along? Itulah jadi bila hutang along beli kereta atau motosikal, akhirnya kena lari malam atau bunuh diri dengan minum racun rumpai. Tapi pada akhir-akhir ini, Kunta Kinte dengar ramai along kena belasah oleh mangsa mereka.


Kalau rakyat jelata, khasnya yang miskin dan melarat, tak boleh bergantung kepada kerajaan, tak gunalah kita susah-susah pilih kerajaan. Kita balik saja ke zaman batu.


Jadi wakil kerajaan tu, tak kiralah Barisan Nasional atau pakatan pembangkang, bila cakap jagalah mulut dan jagalah bahasa. Jangan sakitkan hati rakyat jelata. Bukan semua rakyat jelata senang, kroni, pemungut sewa (rentier), ejen komisen atau Ali Baba.